Perkara Berkaitan Amalan Puasa

Assalamualaikum....



Hari ni adalah hari pertama puasa. Alhamdulillah aku masih lagi berjaya puasa penuh setakat ni. (hahaha...ni hari 1st..so mesti la..).



Diharapkan Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan yang lebih baik dari yang lepas. InsyaAllah aku akan cuba untuk mengisi setiap hari dengan membaca Al-Quran. Jika bulan lain aku agak lagho, insyaAllah bulan ini aku akan usahakan untuk kurangkan lagho tu.



InsyaAllah..



Hari ini aku ingin berkongsi dengan semua akan perkara2 yang dibolehkan ketika berpuasa. Ramai yang agak keliru dan malu untuk bertanya. Namun malu bertanya sesat jalan. Kan2?



 Pelihara puasa anda dengan menjaga aurat sebaiknya.


Perkara yang boleh dilakukan ketika berpuasa
  1. Memasuki waktu puasa dalam keadaan berhadas besar adalah tidak membatalkan puasa.



    • Perkara ini boleh terjadi apabila seseorang itu berjimak dengan isterinya pada malam hari, atau seorang lelaki yang bermimpi basah pada malam hari, kemudian apabila dia bangun dari tidur, waktu subuh telah pun masuk.

    • Diriwayatkan dari ‘Aisyah dan Ummu Salamah radhiallahu ‘anhuma:

      “Bahwasanya Nabi Shalallahu ‘Alaihi Wassalam memasuki waktu subuh dalam keadaan junub karena jima’ dengan isterinya, kemudian beliau mandi dan berpuasa.”

      (HR. Bukhari dan Muslim).


  2. Seseorang yang berpuasa boleh menggosok gigi.


    • Sesungguhnya menggosok gigi tidak membatalkan puasa.

    • Namun lebih baik dipastikan air hasil menggosok gigi itu diludah dengan sebaiknya untuk mengelakkan dari masuk ke kerongkong.


    • Sabda Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam: “Kalaulah tidak memberatkan umatku nescaya aku suruh mereka untuk bersiwak setiap kali wudhu.”

      (HR. Bukhari dan Muslim)


  3. Berkumur2 dan memasukkan air ke rongga hidung dan menghembuskannya (istinsyaq) ketika berwuduk.


    • Ini adalah kerana Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam pernah berkumur dan beristinsyaq dalam keadaan puasa, tetapi melarang orang yang berpuasa berlebihan ketika beristinsyaq (memasukkan air ke hidung). 

    • Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda: “… dan bersungguh-sungguhlah dalam beristinsyaq kecuali apabila kamu dalam keadaan puasa.” (HR. Tirmidzi, Abu Dawud, Imam Ahmad dll dengan sanad sahih)


  4. Bercumbu dan mencium isteri (isteri saje, awek tak boleh..)


    • Namun bercumbu ini seharusnya tidak sehingga mengeluarkan air mani.

    • Aisyah radhiallahu anha pernah berkata: “Bahwasanya Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam mencium (isterinya) dalam keadaan puasa dan bercengkrama (bercumbu) dalam keadaan puasa, akan tetapi beliau adalah orang yang paling menahan diri.” (HR. Bukhari dan Muslim)


  5. Mengeluarkan darah untuk tujuan perubatan dan menerima suntikan bukan bertujuan untuk menerima makanan.


    • Semua ini bukan pembatal puasa kerana tidak ada dalil yang mengatakan batalnyapuasa dengan hal-hal tersebut. (Majalis syahr Ramadhan hlm 102, Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin).



  6. Memakai celak, ubat titis mata/telinga dan sebagainya.


    • Semua ini tidak membatalkan puasa sama ada ianya masuk ke kerongkong atau tidak. Ini adalah kerana apa yang dimasukkan itu bukan barang makanan, malah bertujuan perubatan.


  7. Memakai inhaler (ubat asma)


    • Fadhlilatusy Syaikh Muhammad bin Sholeh Al Utsaimin rahimahullah berpendapat bahwa memakai ubat seperti ini tidaklah membatalkan puasa kerana tidak sampai masuk ke dalam perut dan tujuannya adalah untuk membuka saluran pernafasan sehingga seorang yang sesak nafas boleh bernafas kembali dengan lega dan normal.

    • Beliau berpendapat bahwa hal ini bukanlah makan dan minum dan tidak sama dengan makan dan minum yang sampai masuk ke dalam perut. (Kitab 48 Su’aalan Fu Asy Shiyam Ajaba Alaiha Fadhilatusy Syaikh Muhammad bin Sholeh Al Utsaimin hlm 62- 63, jama’wa tartib: Salim bin Muhammad Al Juhani)


  8. Mandi pada bulan puasa.


    • Sesungguhnya berpuasa tidak menghalang seseorang itu dari mandi baik pada waktu pagi mahupun petang.

    • Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman radhiallahu 'anh berkata: Aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di al-Arj (sebuah tempat), baginda menyiram air ke kepalanya sedangkan pada waktu itu baginda berpuasa. Yang demikian itu kerana kehausan atau kepanasan.

Berikut adalah perkara yang ditokok-tambah berkenaan amalam diwaktu puasa.

Dipetik dari bicaraqalbi.blogspot.com



1. Mewajibkan lafaz niat


Membaca lafaz niat untuk berpuasa atau untuk apa-apa ibadah lain seperti wudhu dan solat sebenarnya adalah tidak perlu, jauh sekali daripada bersifat wajib. Yang wajib adalah seseorang itu mengetahui dengan sedar ibadah apa yang bakal dilakukannya. Jika seseorang itu lazimnya diganggu dengan perasaan was-was, maka dianjurkan melintaskan di dalam hati sekadar “Inilah puasa aku” atau “Inilah solat Zohor aku”. Jika masih was-was maka boleh menyebutnya secara lisan untuk mengukuhkan lintasan hati. Jika setelah itu masih was-was, maka janganlah diberi perhatian kerana ia tidak lain adalah permainan syaitan.



2. Menetapkan waktu imsak



Menetapkan waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh adalah satu ketetapan yang tidak ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, malah ia menjauhi tuntutan sunnah untuk mengakhirkan waktu sahur. Alasan “berhati-hati” adalah tidak perlu kerana kita dibolehkan makan dan minum sehingga jelas masuknya waktu Subuh. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:



Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. [al-Baqarah 2:187]



Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:



“Sesungguhnya Bilal azan ketika waktu masih malam, oleh itu makanlah dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan.” (Perawi menerangkan): “Beliau (Ibn Ummi Maktum) adalah seorang yang buta, dia tidak akan melaungkan azan sehingga dikatakan kepadanya: Waktu Subuh telah masuk, waktu Subuh telah masuk.”



Dalam ayat dan hadis di atas, jelas bahawa dibolehkan untuk bersahur, yakni makan dan minum, sehingga jelas terbitnya fajar atau dilaungkan azan Subuh. Tidak wujud waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum waktu Subuh



3. Menghukum makruh jika mandi ketika puasa



Antara hukum yang ditokok tambah ialah kononnya makruh untuk mandi pada petang hari ketika berpuasa. Yang benar hukumnya adalah sunnah kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menyiram air ke kepalanya kerana haus atau panas. Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman radhiallahu 'anh berkata:


Aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di al-Arj (sebuah tempat), baginda menyiram air ke kepalanya sedangkan pada waktu itu baginda berpuasa. Yang demikian itu kerana kehausan atau kepanasan.



Berkata al-Imam Syams al-Haq al-‘Azhim rahimahullah:



Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa dibolehkan bagi orang yang berpuasa yang merasai kepanasan untuk menyiram air ke atas sebahagian badannya atau keseluruhan badannya. Ini merupakan pendapat jumhur dan mereka tidak membezakan antara mandi kerana suasana genting, sekadar perlu atau tanpa apa-apa alasan sekalipun.



4. Qadha dua kali apabila berbuka dalam puasa qadha



Termasuk hukum yang ditokok tambah adalah, jika seseorang itu sedang mengqadha puasa lalu dia membuka puasa tersebut sama ada kerana sengaja atau tidak, maka dia perlu mengqadha sebanyak dua puasa, yang pertama puasanya yang asal manakala yang kedua adalah puasa qadha yang dibukanya itu. Contoh, jika seorang muslimah sedang berpuasa untuk menqadha puasa Ramadhannya yang lalu, kemudian pada siang hari dia didatangi haid sehingga terpaksalah dia berbuka, maka kononnya dia diwajibkan qadha dua kali, pertama adalah mengqadha puasa Ramadhan yang lalu, kedua mengqadha puasa qadha yang dibukanya.



Yang benar muslimah tersebut hanya perlu mengqadha sekali, iaitu puasa Ramadhan yang lalu. Demikian juga, sesiapa yang membuka puasa qadhanya maka kewajipan dia hanya mengqadha sekali, iaitu puasa asal yang perlu diqadhanya. Ini kerana maksud “qadha” ialah melaksanakan suatu ibadah di luar waktunya dan kewajipan mengqadha hanyalah ke atas ibadah yang sepatutnya dilaksanakan dalam waktunya yang asal. Tidak ada qadha ke atas ibadah yang sedang dilakukan di luar waktunya yang asal.


Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

Ujian Darah

Perancangan Masa Hadapan

Mencari waktu paling tepat